Monday, November 3, 2008

Dapatkan himpunan zikir harian yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu Rumi dan Jawi!

Doa-doa Pilihan dari as-Sunnah dan al-Quran
Penyelengggara: Abdul Razak bin Mahmud
RM11.90/ 130 muka surat

Buku ini merupakan suntingan dari naskhah asal terjemahan Yusoff Zaky Yaakob yang tersiar dalam majalah Pengasuh mulai bilangan 488 (Ogos-September 1987) hingga bilangan 506 (September-oktober 1990) oleh Ustaz Abdul Razak bin Mahmud.
Ia menyajikan sebahagian besar doa-doa pilihan dari as-Sunnah dan al-Quran untuk menjadi bacaan dan amalan setiap muslim dalam kehidupan mereka sehari-hari. Doa-doa di dalam buku ini disusun dalam bentuk ”Wirid Harian” dengan adanya terjemahan dalam tulisan rumi dan jawi agar dapat dibaca secara berdikit-dikit pada setiap hari dalam satu minggu, tanpa ada yang tertinggal atau ditinggalkan. Koleksi ini diterbitkan tidak lain kecuali untuk menyediakan kepada anda sebuah kumpulan doa ”siap hidang” yang mudah anda jamah dan santap pada bila-bila masa dan di mana anda berada!

Tercari-cari kisah hidup tokoh-tokoh ulama silam?

Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1)
Penyelengggara: Ismail Che Daud
RM30.00/ 280 muka surat


Buku yang menjadi sumber rujukan penting mengenai tokoh-tokoh ulama’ Melayu ini seharusnya dimiliki oleh semua orang. Buku yang sederhana ini memuatkan sekumpulan makalah mengenai riwayat hidup tokoh-tokoh ulama’ Islam di Semenanjung Melayu yang diusahakan oleh beberapa orang penulis yang berminat dalam sejarah tempatan. Hanya tokoh-tokoh yang bergiat dan meninggal dunia sebelum 31 Disember 1957 sahaja yang dipilih untuk jilid yang pertama ini. Penyusunannya dibuat menurut kronologi kematian tokoh-tokoh utama. Pada asalnya, makalah-makalah ini merupakan makalah yang diterbitkan dalam majalah Pengasuh, kemudian dikompilasikan menjadi sebuah buku yang senang dirujuk. Sehingga kini, buku ini telah diterbitkan sebanyak tiga edisi yang sentiasa memuatkan pembetulan dan fakta-fakta tambahan.

Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2)
Penyelengggara: Ismail Che Daud
RM40.00/ 688 muka surat


Sebagai lanjutan kepada jilid 1 yang memuat biografi singkat tokoh-tokoh ulama’ yang bergiat dan meninggal dunia sebelum merdeka (31 Ogos 1957), maka jilid 2 ini pun memaparkan biografi ringkas tokoh-tokoh ulama’, tetapi semuanya yang meninggal dunia selepas merdeka. Bagi maksud menggenapkan bilangan tokoh di dalam buku jilid 2 edisi kedua ini kepada 40 orang serta bagi menggantikan dua orang tokoh yang dimansuhkan, kami memasukkan sejumlah 9 orang tokoh baru. Mereka ialah: Haji Yahya Kupang, Haji Husain Che Dol, Hj Abdullah Abbas Nassution, Haji Pak Man Bukit Besar, Sheikh Idris al-Marbawi, Haji Abdul Wahid Sungai Udang, Haji Wan Ali Al-Jambui, Haji Ghazali Bagan Datok dan Haji Ibrahim Bongek. Seorang tokoh ulama, iaitu Drs. Ab Ghani Azmi Idris ditambah di bawah tajuk `Dalam Kenangan' menjadikan jumlahnya seramai 5 orang. Sebanyak empat lampiran dimuatkan dengan merangkumi tajuk-tajuk berikut:Ulama' Muhajirin di Kelantan, Ulama' Kelantan di Rantau Orang, Ulama' Terkemuka Dari Jajahan Pasir Mas dan Daftar Kematian Ulama' 1957-2000 yang dikemaskini.

Panduan solat sunat mengikut sunnah Rasulullah ada di sini...

Pedoman Solat Sunat Menurut Sunnah Rasulullah
Penyusun: Allahyarham Drs. Ab.Ghani Azmi Idris
RM15.00/ 382 muka surat


Buku ini berasal dari buku “Pedoman Solat Sunat Menurut Sunnah Rasulullah s.a.w” yang diterbitkan dalam tulisan rumi. Edisi jawi ini diterbitkan supaya ia dapat dimanfaatkan oleh orang-orang yang tidak mahir dalam tulisan huruf Latin. Edisi ini sama dengan edisi Latin, cuma sahaja dalam edisi jawi ini diperbetulkan beberapa kesilapan yang terdapat dalam edisi Latin serta ditambah dengan beberapa buah hadith yang dirasakan perlu untuk memperkuatkan hujjah, dengan tiap-tiap hadith itu dinyatakan martabatnya, kecuali beberapa buah hadith yang tidak dapat diketahui martabatnya. Dalam buku ini hanyalah dinyatakan solat-solat sunat yang berasal dari sunnah Rasulullah s.aw berdasarkan hadith-hadith sahih dan pendapat ulama yang muktabar dari seluruh mazhab.

Dapatkan kitab jawi mengenai Fiqh!

Fathul muin
Terjemahan: Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady
RM15.00/ 256 muka surat


Kitab ini merupakan kitab terjemahan dari bahasa Arab. Ia menjadi antara rujukan utama dalam bidang ilmu fiqh mengikut mazhab Syafie. Penggunaan bahasa dalam buku ini juga tidaklah sukar untuk difahami. Bahkan ia diolah dalam bahasa Melayu yang cukup mudah, ringkas dan padat. Turut dimuatkan keterangan tambahan oleh penterjemah bagi memudahkan para pembaca memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penyusun. Buku jilid pertama ini membicarakan bab yang berkaitan dengan ibadah sembahyang iaitu syarat-syaratnya, perkara yang membatalkan sembahyang, sembahyang berjamaah, sembahyang jama’ dan qasar serta sembahyang jenazah. Pihak penerbit berhasrat untuk menerbitkan jilid yang seterusnya dalam masa terdekat.

Sunday, November 2, 2008

Mahu mengetahui perkara pokok dalam Islam?

Asas Aqidah Islam
Penyusun: Ustaz Abdul Aziz Omar bin Ahmad
RM15.00/ 280muka surat


Buku ini khusus membicarakan bidang aqidah, iaitu suatu bidang yang sangat pokok dan utama dalam kehidupan setiap individu muslim. Ia dihuraikan dalam bahasa yang mudah difahami serta maksud yang jelas. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan untuk pengajian di masjid-masjid, madrasah-madrasah, surau-surau dan musalla-musalla. Kandungan buku ini sengaja disusun dalam bentuk yang sederhana serta menggunakan kaedah pendekatan yang jelas bagi maksud memudahkan para pembaca mengkaji persoalan aqidah yang biasanya ditulis dalam bahasa Melayu klasik yang rumit serta sukar difahami. Ia patut dimiliki oleh setiap individu agar dapat menjadi panduan dalam memantapkan aqidah sebagai muslim.

Ahlan wa Sahlan ila Maktabina haaza!

Blog ini adalah khusus untuk pelayar-pelayar internet yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bahan-bahan penerbitan Unit Penerbitan MAIK.Di samping itu, pihak kami juga berharap dapat meneruskan agenda dakwah melalui alam siber yang semakin canggih dari sehari ke sehari...Selaku Ketua Unit Penerbitan, saya amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan respon yang memberangsangkan ke arah memartabatkan ad-Deen kita di martabat yang tertinggi.Saya memetik tulisan Syeikh Ali al-Thanthawiy:"Telah banyak saya menulis, menyeru dan mengajak umat Islam untuk membangunkan akhlak, menjunjungi budi pekerti yang mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa, mengawal nafsu syahwat serta melawan dan membanteras keruntuhan moral.Semua itu telah saya sampaikan, samada melalui penulisan atau ceramah. Hinggakan, pena saya menjadi tumpul dan lidah saya menjadi kelu. Namun, terlalu kecil hasil yang saya perolehi. Tetapi, saya tidak rela membiarkan kemungkaran tetap berterusan tanpa ada yang menghalangnya. "Tertarik dengan kata-kata beliau, saya merasakan adalah suatu kewajipan yang pasti bagi setiap individu Muslim meyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran tanpa ada rasa putus asa.InsyaAllah.